14 Oct 2008

dari Mstar - Zul Noordin tidak akan sertai UMNO


KUALA LUMPUR:Sehari selepas disahkan bebas daripada cabaran perundangan, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Nordin menafikan beliau ada ditawarkan supaya menyertai Umno.
Sebaliknya tegas wakil rakyat itu beliau masih bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ketika ditemui wartawan di lobi Parlimen hari ini, Zulkifli juga menegaskan beliau akan bersama dengan parti yang memperjuangkan Islam.
Ekoran keputusan mahkamah semalam banyak pihak membuat andaian bahawa beliau akan menyertai Umno.
Malah komen pengunjung blognya juga menyentuh kemungkinan tersebut.
Menurut beliau, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menegaskan parti itu masih memperjuangkan Islam.
"Setakat ini belum lagi (tawaran dari Umno). Saya ambil pendirian dan konsisten dengan pendirian saya untuk memartabatkan Islam dan mana-mana platform yang memperjuangkan Islam.
"Kalau DAP memperjuangkan Islam, saya pilih bersama DAP” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.
Ditanya sama ada kenyataannya itu bermakna beliau akan menyertai PAS, Zulkifli berkata, beliau tidak bermaksud demikian.
"Saya masih duduk di kerusi PKR. Cuma ada sedikit hiccup atas perjuangan dengan Islam tapi tak timbul soal melompat parti.
"Saya masih berhubung dengan Datuk Seri Anwar dan beliau memberi jaminan pada saya yang perjuangan Islam masih diiktiraf," katanya.