10 Apr 2008

Abdullah Diminta Berundur

Petikkan dari blog Kuda Kepang.

Majoriti pemimpin UMNO peringkat bahagian di Kedah sependapat bahawa kekalahan teruk BN dalam PRU12, termasuk di Kedah, adalah angkara kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Khairy Jamaluddin selaku menantu Abdullah juga turut menyumbang kepada kekalahan berkenaan.

Oleh itu, hampir keseluruhan pemimpin UMNO Kedah menggesa Abdullah untuk segera mengundurkan diri sebagai Perdana Menteri, pengerusi BN dan Presiden UMNO.

Khairy juga didesak meninggalkan UMNO dengan serta merta. Pendapat dan gesaan di atas disuarakan oleh majoriti kepimpinan UMNO Kedah peringkat bahagian dalam satu majlis tertutup dengan delegasi UMNO Malaysia pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, di Kelab Cinta Sayang, Sungai Perani. Kedah, padi tadi. (10 April 2008)Kepimpinan UMNO yang hadir juga mencadangkan supaya Najib diberikan mandat jadi Perdana Menteri dengan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang turut menyertai delegasi berkenaan, sebagai Timbalannya.

Saranan ini menerima tepukan gemuruh daripada hadirin.Perkembangan di Kedah ini mencerminkan realiti sentimen sebenar anggota dan pemimpin UMNO akar umbi pasca PRU12 di seluruh negara. Malangnya, Abdullah yang terus berada dalam state of denial tidak mahu menerima hakikat ini. Sebab itulah Abdullah kini dalam proses memburu pihak-pihak yang kononnya mensabotaj UMNO dan BN sehingga kononnya menyebabkan BN kalah teruk dalam PRU12.

Lantaran itu, wajarlah kepimpinan UMNO peringkat akar umbi terus bersuara dengan lantang, jelas dan nyata seperti apa yang disuarakan oleh kepimpinan peringkat bahagian UMNO Kedah hari ini.Fikir-fikirkanlah. Bulan depan UMNO akan merayakan harijadinya yang 62 tahun. Mungkinkah sempena hari berkenaan semua pimpin dan ahli UMNO akar umbi di seluruh negara akan memberitahu Abdullah bahawa masanya sudah tiba untuk beliau berundur secara terhormat daripada persada kekuasaan negara dan kepimpinan parti? – Ruhanie Ahmad