10 Apr 2008

Perlantikan JKK Persekutuan tidak demokratik, wujudkan perpecahan - Teras

KUALA LUMPUR, 10 April (Hrkh) - Teras Pengupayaan Melayu (Teras) kesal dengan tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) di peringkat pusat yang meminta Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) yang dilantik untuk meletakkan jawatan di peringkat negeri di bawah kerajaan Pakatan Rakyat yang kemudian dilantik semula dibawah kerajaan persekutuan .

Presiden Teras Mohd Azmi Abdul Hamid berkata menurut pengumunan yang telah dibuat oleh beberapa pemimpin Umno di Kedah , Selangor dan Pulau Pinang dengan jelas menyatakan bahawa JKKK yang dilantik oleh kerajaan BN sebelum ini akan terus dikekalkan untuk bertugas bagi menyalurkan peruntukan secara langsung dari kerejaan Persekutuan.

"Tindakan ini tidak demokratik dan bercanggahan dengan konsep kerajaan berpersekutuan , malah ia akan memberi kesan yang negatif kepada rakyat.

"Kesannya di peringkat kampung akan wujud dua JKKK yang saling bersaing untuk menyalurkan khidmat kepada masyarakat," katanya dalam satu kenyataan media kepada Harakahdaily.

Selain itu katanya akan berlaku perpecahan di kalangan masyarakat bawahan kerana dipaksa untuk merujuk kepada dua kepimpinan masyarakat di peringkat paling bawah.

"BN nampaknya tidak mahu bersikap terbuka dan menerima keputusan rakyat. Mereka sanggup berbuat apa sahaja bagi menyukarkan kerajaan negeri-negeri PR berfungsi dengan lancar.

Beliau juga berpendapat tindakan kerajaan Sabah yang telah mendesak agar Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dimansuhkan kerana menunjukkan pertindihan fungsi dengan kerajaan pusat dan negeri.

Langkah ini kata Azmi sewajarnya diikuti oleh semua negeri yang sudah ada JPP seperti di Kelantan dan di Trengganu.

"Kita membantah tindakan politik pecah belah ini yang akan menyebabkan rakyat terus dimanipulasi oleh parti politik melalui proses menyalurkan peruntukan.

"Sikap bebal dan angkuh dengan kuasa di pihak BN perlu dihentikan segera.

Teras melihat kesan perpecahan yang semakin mendalam akan timbul bila saluran bantuan dan skim kepada rakyat akan terdedah kepada penyelewengan dan diskriminasi JKKK BN yang menyusahkan rakyat, dakwa Azmi.

"Kami mendesak supaya kerajaan pusat menghentikan tindakan melantik semula JKKK yang telah diarah meletakkan jawatan dan sekaligus menghormati pilihan rakyat untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri," katanya.