17 Apr 2008

Kerajaan Kedah lantik ahli majlis PBT baru berkuat kuasa hari ini


ALOR STAR, 17 April (Hrkh) - Semua ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kedah dan Majlis Bandaraya Alor Star yang lama telah ditamatkan perkhidmatan mereka bermula semalam dan perlantikan ahli majlis baru berkuat kuasa hari ini, demikian diumumkan Menteri Besar, Ustaz Azizan Abdul Razak.

"Mesyuarat Exco hari telah bersetuju untuk membatalkan khidmat ahli majlis daerah dan bandaran yang lama berkuat kuasa hari ini dan yang baru dilantik berkuat kuasa esok," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Wisma Darul Aman semalam.

Menurutnya, semua perlantikan baru itu membabitkan lantikan wakil parti politik dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta pegawai-pegawai (ex-officio) mengikut peruntukannya iaitu tidak melebihi 24 orang.

"Mereka yang dilantik akan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua (YDP) Majlis masing-masing," ujarnya.

Sementara itu, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Mohamed Taulan Mat Rasul yang ditemui kemudian menjelaskan perlantikan tersebut membabitkan seramai 243 orang ahli tidak termasuk YDP.

Secara terperincinya, perlantikan tersebut Majlis Bandaraya Alor Star seramai 24 orang, Majlis Perbandaran Sungai Petani (24 orang), Langkawi (21 orang), Kulim (24 orang), Kubang Pasu (22 orang), Baling (18 orang) dan Pendang (21 orang).

Sementara itu, Sik menerima perlantikan ahli seramai 16 orang, Padang Terap (20 orang), Bandar Baru (17 orang), Kulim HiTech (21 orang ) dan Yan (15 orang).