16 Sep 2008

Anwar tidak umum senarai lompat parti.



16 Sep 2008 2:52PM


SELESAI sidang media Ketua Pembangkang di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Petaling Jaya sebentar tadi menyaksikan teka-teki perubahan kerajaan yang diwar-warkan masih belum menjadi kenyataan. 

Pakatan Rakyat mahu menemui Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terlebih dahulu berhubung pelan sasaran mereka membentuk kerajaan baru persekutuan.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang medianya, beliau tidak mahu peristiwa 8 Mac lalu berulang di mana peralihan kuasa di Selangor dan Perak tidak berlaku dengan aman.

Anwar mendakwa ada dokumen-dokumen kerajaan dihapuskan pada 8 Mac lalu ketika pakatan pembangkang berjaya mengambil-alih kedua-dua negeri tersebut.

Anwar juga tidak mengumumkan nama ahli-ahli Parlimen BN yang didakwa mahu melompat parti itu sebagaimana dijangkakan sebelum ini.

Semalam Anwar yang berucap di hadapan kira-kira 12,000 penyokong di majlis sambutan Hari Malaysia ke-45 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di Kelana Jaya.

Anwar juga mendakwa satu pertemuan akan diadakan dengan Perdana Menteri nanti untuk membincangkan perkara berkaitan dakwaan beliau mengenai peralihan kuasa.

Beliau juga menggesa kedua-dua tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) iaitu exco kerajaan negeri Selangor yang juga Anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok, dan pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin dibebaskan.

"Untuk pertahankan negara yang bebas, bukan dicengkam oleh undang-undang yang zalim. Kalau kita (Pakatan Rakyat) memerintah, saya janji ISA akan dimansuhkan dan tahanan politik dibebaskan," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga berjanji akan mengangkat martabat bahasa Inggeris dan bahasa Cina kerana Malaysia akan hebat jika dapat menguasai kedua-dua bahasa tersebut.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Setiausaha Agung PAS, Kamaruddin Jaafar, Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli dan Naib Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.




Powered by ScribeFire.