Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng meminta supaya kerajaan dan polis membebaskan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng dan Anggota Parlimen DAP, Teresa Kok yang ditahan menurut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) malam tadi.
Beliau berkata, tindakan menahan mereka dilihat seolah-olah kerajaan dalam keadaan terdesak terutamanya menjelang tarikh 16 September ini, tarikh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan akan mengambil alih pentadbiran kerajaan Barisan Nasional.
"Sementara pemberita berkenaan hanya menjalankan tugasnya dan tidak sepatutnya beliau dipersalahkan," katanya kepada pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, demikian menurut laporan Bernama.
Sehubungan itu, Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata, parti itu akan membincangkan mengenai perkara tersebut pada mesyuarat parti hari ini di Kuala Lumpur.