Sebetulnya saya sudah lama mendiamkan diri daripada menulis di alam siber yang bebas ini. Pun begitu saya sering melayari membaca dan meneliti artikel dan buah fikiran yang ditulis secara sukarela oleh para penulis lainnya. Ada yang merupakan orang lama dan ada juga nick-nick baru yang mengancam isi penulisannya.
Saya tertarik untuk menyatakan pendapat dalam isu YB Zulkifli Nordin yang nampak hangat diluahkan dalam internet. Satu ketika saya merasakan ianya bukan suatu yang baik untuk didedahkan, kerana bagi setengah orang menganggapnya sebagai fitnah atau tohmahan saja. Namun apabila ditulis oleh pelbagai pihak sama ada daripada penulis yang memang prolifik mahupun yang baru, saya melihat ia sebagai satu bahan yang mempunyai asas dan boleh diterima.
Kita boleh sahaja mendiamkan perkara itu atas hujah tidak mahu membuka pekung di dada atau harus diselesaikan secara halus demi menjaga jemaah. Akan tetapi bagaimana jemaah mahu dijaga jika pemimpin yang dilantik umpama puaka? Tentu sahaja kita perlu melakukan sesuatu untuk mengubahnya secara berhemah. Laksana menarik benang dalam tepung. Benang dapat ditarik manakala tepung pula terus tidak bertabur. Kita juga harus melihat akan bahayanya apa yang orang tua-tua kita katakan dalam pepatah sebagai renungan- gunting dalam lipatan atau duri dalam daging!
Dalam era yang perjuangan kita sendiri laungkan kebebasan media serta moto kita untuk perjuangkan suatu yang jauh lebih baik dan bermakna kepada rakyat, maka kita lihat elok sahaja pekung yang disembunyikan itu didedahkan supaya mudah-mudahan tuan tubuh sedar bahawa ia berpenyakit manakala yang pandai bisa membantu mengubatinya. Tidaklah kita menjadi seperti manusia yang hipokrit berbedak tebal tetapi rupa-rupanya panau kurap juga tebal! Atau seperti mana si polan yang berpakaian ranggi, akan tetapi seluar cungkingnya berlubang dan bertahi lalat sana-sini.
Saya terbaca dalam salah satu artikel ada menyentuh tentang pepatah di atas melalui pembacaan sebuah buku. Saya bisa meneka betapa buku itu ialah tulisan pengalaman berharga seorang rakyat Malaysia di Somalia ketika negara itu menuju ke arah kehancuran akibat revolusi rakyat yang sudah tidak tertahan lagi di bawah pentadbiran kuku besi presiden mereka- Siad Barre.
Ia mengisahkan tentang teguran yang dibuat kepada orang yang sangat suka membersih serta mempertahankan orang yang jelas gemar berbuat salah. Apatah lagi jika si polan yang cuba dibela itu memang sejak azali lagi bermasalah dan tidak mungkin menyesali serta buat ‘dek’ sahaja seolah-olah orang tak tahu akan kesalahannya itu. Kita harus faham betapa kaldai ini seekor haiwan yang sangat-sangat degil dan keras kepala. Sepatutnya tidak perlu ada orang yang mencuci bontotnya kerana tahulah haiwan itu menjaga kebersihan bontotnya sendiri. Kalau kaldai itu dianggap haiwan bodoh maka bodoh lagi la si mamat yang cuba mencuci bontot haiwan tersebut supaya ia nampak bersih. Akhirnya pencuci bontot kaldai juga akan terkena penendangnya walau ia telah berjasa mencuci bontotnya daripada kekotoran.
Kembali kita kepada perihalan YB Zulkifli yang menjadi topik dalam penulisan ini. Kita seboleh-bolehnya mahu mengulas secara yang adil supaya keadaan dapat diperbetulkan. Kalau setakat Zulkifli penjual goreng pisang hatta Zul pecacai pengangkat najis, kita pun tak kisah dan berminat untuk memperkatakannya. Biarkan saja. Nocte. Khalas. Habis cerita.
Akan tetapi YB Kulim Bandar Baru ini ialah kalangan generasi baru pemimpin berbangsa Melayu lagi Islam. Bukan main lagi imej yang digambarkan mengenainya. Bermula dengan era menjadi pembantu peguam Anwar tahun 1998 sehinggalah sekarang. Tidak boleh tidak kita sedikit terasa apabila ia dilondehkan, dengan pegangan betapa segala keburukan itu memang satu kisah benar. Bukan ditokok-tambah atau digulaikan demi kepentingan satu-satu pihak. Dalam pada kita bercakap dan mendabik perubahan besar yang dibuat kerajaan-kerajaan negeri yang baru ditadbir pakatan Rakyat. Tiba-tiba keluar kisah spenda buruk yang menyebabkan selera kita putus atau terlekat di kerongkongan. Ouch…..ini sesuatu yang serius dan perlu ditangani segera.
Ada tiga perkara besar yang kita mahu selami soal YB Zulkifli. Pertamanya ialah khabar angin tentang perjanjian intim beliau dengan TpM serta dakwaan kewujudan surat akuannya untuk menyertai Umno demi menyelamatkan kerusi parlimennya. Keduanya ialah pendedahan siri sikap buruk, hodoh dan keji yang tak layak ada pada batang tubuh seorang pemimpin yang kelihatan ‘warak’ dan ‘zuhud’ seperti beliau yang sentiasa berketayap. Manakala yang ketiganya ialah sentiasa ada orang yang menjadi seperti pencuci bontot kaldai tadi yang akhirnya akan tersedar sebaik saja tapak kaki kaldai hinggap ke batang tubuhnya.
Jika kita menoleh ke belakang, kita akan dapati isu pembelotan yang dikatakan sedang dilakukan YB Zulkifli bermula daripada saat petisyen dibuat oleh SPR atas kemenangannya itu semasa bertanding dengan adik lelaki Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir. Benar sebagaimana ditulis oleh Mi Itik betapa kacau-bilau itu berlaku ekoran kesilapan SPR yang bergerak secara berasingan sehingga mereka tidak ada ‘check list’ yang lengkap bagi calon yang datang dari negeri lain. Oleh kerana kisah ‘percintaan’ YB Zulkifli Nordin dengan Najib sudah pun diulas oleh MerahTinta an sedikit oleh Mi Itik, kita ketepikan soal itu.
Sekarang mari kita lihat perihalan keburukan Zul yang kini menjadi santapan mata ketika melayari Internet. Tidak adil untuk kita secara borong atau semberono menerima sahaja apa yang ditulis orang tanpa kita berfikir sejenak.
Akan tetapi kita merasakan betapa bebanan berat juga menimpa diri si penulis. Kita tolak ke tepi penulis seperti Allahyarham Khalid Jefri dengan buku Anwar dan 50 dalilnya. Kita melihat dua rentak berbeza antara penulis prolifik seperti MSO dan juga nick Mi Itik. Yang terdahulu menyentuh secara selamba di permukaan dengan tawaran nombor telefon saksi sebagai bukti, manakala yang satu lagi memberi secara terperinci apa yang mereka lalui di bawah permukaan arus politik setempat. Begitu juga dengan apa yang ditulis oleh Jin Brabus (yang terbaru Mat Saleh). Kesemua penulisan itu memberi gambaran yang sealiran cuma nada persembahan sahaja yang berbeza.
Kata orang tua-tua, kalau tak ada angin masa kan pohon bergoyang. Maknanya, kalau tidak ada asasnya, masa kan kisah ini meletup begitu sahaja. Hatta angin kentut pun ada asal usulnya. Barangkali selama ini orang cuba menutup keburukan itu. Namun apabila hanya sebuah nyiru sahaja digunakan untuk menutup sebongkah bangkai gajah susah la sikit. Sudah la fizikalnya yang mereput itu nampak terjojol, baunya juga bukan kepalang menusuk lubang hidung menghentak saraf olfaktori. Dalam tempoh lapan bulan sahaja mereka sudah tidak mampu menelan dan bersabar dengan kelakuan ‘hodoh’ YB Zulkifli. Lalu inilah pilihan media yang ada bagi dikongsi dengan seluruh warga Malaysia.
Daripada ulasan yang dibuat penulis lain yang kita baca, jelas yang bukan sahaja aktivis parti sekitar Kulim yang sudah terkena, malahan juga di kawasan lain, yakni Selangor tempat di mana YB Zulkifli aktif sebelum ini!
Teruk sangat ka YB Zulkifli? Ini satu soalan yang baik.
Takkan dia ‘cokia’ seperti yang didakwa? Ini juga satu soalan yang baik.
Kita wajar mempunyai minda yang terbuka dan lapang sebelum membuat pendirian sama ada mahu menerima penulisan itu atau menolaknya ke tepi sebagaimana buku 50 Dalil. Untuk apa mereka menulis seumpama meludah ke langit? Apakah untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat atau untuk memperkemaskan lagi pakatan itu dengan menjadi pemantau dan mengemutkeluar pemimpin yang berserabut dan cabuk tarian politiknya?
Dari pembacaan kesemua artikel itu, kita dapat melihat bagaimana penulisan yang dibuat itu lancar sekali dan tidak berlebih-lebihan. Ada nilai kejujuran dan keikhlasan apabila mereka menulisnya. Emosinya tentu sahaja mewarnai penulisan tersebut, namun hujah, perihalan dan contoh apa yang dikatakan sebagai keburukan YB Zulkifli itu suatu yang diterima akal. Lantaran itu kita lihat blog Bang Nan Kopitiam menyatakan isi hati sahabatnya yang mengeluh, lebih kurangnya.. ‘La…macam kita kena juga!’
Orang ni kalau nak menipu, mereka mungkin berjaya terhadap seseorang dan di satu ketika sahaja, tidak mungkin mereka berjaya menipu setiap orang dan di segenap masa!
Sebenarnya ramai daripada kita yang tidak pun mengenali YB Zulkifli dengan rapat dan mendalam. Hanya sekadar daripada pemberitaan dalam akhbar Pakatan Rakyat atau pun rakaman ceramah politiknya. Sekadar itu sahaja. Kita tidak tidur sebantal mahupun sebilik dengannya. Kita juga tidak membesar bersamanya untuk memahami psikologi serta sifat jatidirinya. Kita tidak seperti rakannya Fudzail yang berada di Dubai sana. Kita tidak tahu falsafah hidupnya semasa ia menjadi pengerusi Kelab Umno semasa di New Zealand. Kesimpulannya kita memang tidak tahu.
Apabila membaca kesemua artikel yang ditulis itu, kita terjurus untuk sama ada menyokong penulisan yang membedalnya atau terjun membela dan mempertahankan batang tubuhnya daripada tuduhan kelakuan buruk sebegitu sebagaimana yang dibuat oleh Pembantu Peribadi YB Zulkifli. Memang ianya satu kerja berat dan perlu berhati-hati. Lantaran itu ada komen-komen pembaca yang meminta kesahihan bukti dengan memohon nombor telefon mereka yang terbabit untuk mencari kebenarannya.
Well, kalau sebuah Negara yang merdeka dalam arti kata yang sebenarnya, permintaan sebegitu tidak ada masalah untuk dipenuhi. Menyedari betapa sudah ada niat serta bukti yang YB Zulkifli akan lari ke sebelah pemegang kuasa, maka kita kena berhati-hati. Bukan apa, kita harus tahu betapa perisik sentiasa memasang telinga, tambahan pula nombor telefon kan boleh diketahui siapa dan di mana kedudukan tuannya?
Untuk para pembaca yang begitu berminat mengambil tahu akan kebenarannya, elok mereka turun padang dan cari kebenaran itu. Ini adalah suatu perkara besar. Sedikit ikhtiar anda akan membantu memperkukuhkan Pakatan Rakyat.
Kalau kita mengimbau artikel terakhir Mi Itik yang menyenaraikan salah laku YB Zulkifli, sekiranya kesemua itu benar; memang dahsyat betul sikap seorang yang digambarkan oleh pengkagumnya sebagai zuhud!! Kita yang marang kerapu marang sekeper pun tidaklah sampai begitu buruk dan teruk seperti apa yang dinyatakan tentang YB KBB ini. Begitu juga kalau kita melihat apa yang ditulis dalam Blog Kopitiam Bang Nan, semakin banyak surau-surau yang enggan atau membatalkan kuliah dan ceramah YB Zul. Kenapa? Apakah kerana apa yang ditulis oleh Mi Itik dan Jin Brabus semata-mata? Takkanlah sampai begitu sekali kesan penulisan mereka?
Solekan Opera Cina
Jika pun kita tidak pernah menonton wayang atau opera Cina ini, kita tentu pernah terbaca tentang watak serta solekan dan kostum yang digunakan pelakonnya dalam dada akhbar. Kita jangan terkena, betapa kebanyakan watak wanita itu dipegang oleh pelakon lelaki jua. Melalui solekan, wajah keras seorang lelaki bertukar menjadi wanita yang putih gebu dengan bibir nipisnya. Hilang habis segala kehijauan akar misai, lekukan jerawat dan jeragatnya dek penangan calitan bedak dan sapuan solekan asasnya.
Begitulah perumpamaan YB Zulkifli. Dari luar beliau memang hebat. Ceramahnya fasih, penampilannya zuhud dan tawadhuk. Kalau baca blognya lagi la! Fuyo.. semuanya okay dan mulus belaka. Namun apabila terkena percikan air, terpunggah la keluar kebenaran. YB bukan setakat lelaki biasa bahkan seorang yang cukup licik berlakon. Seumpama seekor ular, beliau membawa dirinya sehingga berjaya memperdaya para pengkagum dan pendokongnya. Butanya mata hati mereka ini sehingga mengatakan ia seekor belut cuma. Bukannya ular berbisa!! Ouchh…
Kalau kita nak buat cerita harian dalam kehidupan begini agaknya: Pada satu hari pengkagumnya diminta membawa beliau untuk ke satu tempat yang terpaksa melalui lebuhraya untuk mengejar masa. Lalu untuk menyedapkan hati pengkagumnya, ia akan membuat janji manis untuk menanggung kos minyak dan tol dalam perjalanan. Bagaimana beliau mahu mengelak daripada mengeluarkan sejumlah wang dengan cara terhormat tanpa disedari pengkagumnya? Kalau orang yang ikhlas dan tulus tentu sahaja menghulurkan wang sebelum perjalanan bermula lagi, kan? Bagaimana caranya? Yap.. tentu sahaja dengan menyahut tuntutan lahiriah seorang yang kununnya sibuk dan keletihan. TIDOR!! Tentu sahaja secara itu, ia akan terlepas. Tak kan lah sampai hati si pengkagumnya untuk meminta wang semasa ia sedang tidur atau sesudah tamatnya perjalanan!!!
Atau dalam satu senario lain, apabila disertai ramai orang ketika hendak menjamah makan atau sekadar menikmati minuman, apa yang akan dipilih ia? Tentu saja air suam atau ais kosong. Alah! Nanti akan ada pelbagai alasan, demi kesihatan ka, demi mengelak kencing manis ka! Biasa la tu. Apa yang tak disedari mereka yang di sekelilingnya, mereka telah kena ‘kencing’. Alasan sebenar ialah beliau tidak mahu membelanja makan itu sahaja. Perhatikan dalam acara kenduri atau majlis rasmi di Parlimen, apakah ia sekadar meneguk air suam yang dipinta khusus atau beliau ligat membalun sehingga meleleh tumpah ke baju??
Sensitiviti seseorang amat berbeza sebelum menyedari bahawa ia sudah kena ‘jual’ atau dikencing sahabat sendiri. Bagi yang peka deria insannya, sebiji batu terpelanting dia sudah bingkas melenting. Manakala bagi yang derianya pekak, 4-5 tan batu yang menghempapnya pun tidak terasa. Asyik seronok situ saja la, bagai orang yang syahdu mengorek telinga atau laksana watak para menteri dalam Musang Berjanggut!! Mereka akan berkhayal! Oh…wanginya YB Zulkifli! Oh…wanginya pejuang mujahid YB Zulkifli!!
Akan tetapi, sepandai-pandai tupai melompat akan jatuh ke tanah juga. Para pengkagumnya juga akhirnya akan sadarkan diri lalu menarik diri ke tepi. Bergantung kepada tahap mana yang ia terkena dan darjah kepekaannya.
Begitulah apa yang terjadi jika menurut penulisan Mi Itik, Jin Brabus, Mat Salleh dan pelbagai nama lagi. Slot-slot kuliah sudah mula dibatalkan dan YB Zulkifli dikuis ke tepi. Surau, masjid mula menggugurkan namanya daripada senarai penceramah. Di kawasan Parlimen KBB, jawatankuasa masjid sudah tidak mahu lagi YB membaca khutbah. Malah menyebut namanya pun sudah mereka tak hingin. Apa kata mereka mutaakhirin ini? YB Zul Kaki Pembohong!!!
Sebagai pendokong perjuangan Pakatan Rakyat sejak tahun 1998 lagi, kita merasa amat pilu dan sedih. Kenapa hal ini terjadi? Apakah penapisan pemilihan calon begitu bocor sehinggakan biji kerandut pun terlepas? Kenapakah watak zuhudnya sekadar hiasan luaran sahaja sedangkan amalinya sangat terpeleot! Apakah sikap hipokrit sudah menebal menjadi dasar jati dirinya? Soalan cepumas- Apakah ibadat Haji akan berjaya mengubahnya kepada kebaikan atau ia pulang membawa rasmi toyol?
Mahukah tuan-tuan berterusan menjadi pencuci bontot kaldai??
Blogged with the Flock Browser