Barisan Nasional dipercayai akan mengemukakan petisi terhadap pencalonan Zulkifli Nordin dari KeADILan yang menang di kawasan Parlimen Kulim-Bandar Baharu apabila keputusan pilihan raya itu digezetkan nanti.
Petisi itu dibuat kerana Zulkifli dikatakan tidak mengemukakan penyata kewangan pilihan raya 2004 yang disertainya dulu. Jika disabitkan maka kerusi itu terpaksa dikosongkan.
Memang ada peraturan mana-mana calon yang tidak mengemukakan penyata kewangan itu hilang kelayakan untuk menjadi calon.
Tetapi siapa yang tahu jika calon gagal mengemukakan penyata itu? Tentulah SPR sendiri. Calon BN tidak membantahnya pada hari penamaan calon dipercayai tiada yang tahu hal itu. Mungkin calon BN membuat kaji selidik selepas itu atau SPR yang bekerja untuk BN memaklumkannya.
Kita tunggu keputusan mahkamah kiranya ada petisi itu.
Mengikut penghakiman Tun Ahmad Fairuz Abdul Halim atas petisi calon BN atas calon DAP di Bukit Bintang satu masa dulu, bukan sekadar kerusi yang dimenangi DAP itu dikosongkan, malah calon BN yang kalah dalam pilihan raya itu diisytiharkan menang tanpa bertanding.
Lain-lain penghakiman terhadap petisi sebelum itu jika disabitkan, mahkamah mengisytiharkan diadakah pilihan raya semula bagi kawasan berkenaan.
Jika Kulim-Bandar Baharu terpaksa mengadakan pilihan raya kecil nanti, tidak perlulah Datin Seri Wan Azizah, Presiden KeADILan mengosongkan kerusinya di Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang pernah disebutnya sebelum ini.
Kiranya pilihan raya kecil itu diadakan selepas selesai tempoh pantang bertanding Anwar, maka boleh Anwar saja yang bertanding di Kulim-Bandar Baharu. Tak payah lagi Wan Azizah meletak jawatan. Permatang Pauh dan Kulim-Bandar Baharu hanya bersempadan atau dipisahkan oleh kawasan Bukit Mertajam saja.
Tempoh pantang bertanding Anwar akan berakhir bulan April ini. Kalau cadangan BN mempetisi pencalonan Zulkifli diteruskan, maka ia mungkin selesai sekitar Mei. Entahlah kalau ia tidak disegerakan. Jangkaan masa itu sesuai sangat dengan tamat tempoh pantang Anwar.
Dalam pilihan raya umum baru-baru ini, Zulkifli Nordin menang dengan majoriti lebih 5,500. Majoriti itu sangat selesa bagi Anwar untuk mengulangi kemenangan Zulkifli itu. Tempoh yang begitu dekat antara pilihan raya umum dan pilihan raya kecil jika diadakan tentunya tidak mengubah banyak kecenderungan mengundi di kawasan itu.
Cadangan BN untuk mempetisi Zulkifli itu adalah satu ikhtiarnya untuk mendapatkan semula kerusi yang ditinggalkan oleh Dato’ Abdul Kadir Sheikh Fadzir. Tidaklah salah tektik itu diambil oleh BN. Begitulah politik, mencari apa juga peluang yang boleh menguntungkan.
Tetapi diketahuinya ia seperti mahu menguji Anwar, maka besar cabaran yang terpaksa dihadapi oleh Umno, BN dan pimpinan Perdana Menteri yang serba goyah sekarang.
Rata-rata pimpinan BN mahu menyegerakan pilihan raya umum baru-baru ini adalah untuk mengelakkan risiko berhadapan dengan Anwar. Ia disegerakan kerana tidak mahu orang tua itu menyertai pilihan raya itu. Hanya Perdana Menteri yang bersedia menghadapi Anwar yang selesai pantang.
Kerana yang lain-lainnya risau akan risiko itu, maka Pak Lah mendengar pandangan mereka. Rupanya yang dibimbangkan itu ada asasnya.
Jika boleh dalam suasana serba goyah itu, jangan ada kejadian besar yang boleh menggelorakan politik dan pimpinan Perdana Menteri. Jika pilihan raya kecil bagi membeli laluan kepada Anwar disebabkan oleh perletakan jawatan Dr. Wan Azizah, maka ia suatu yang bukan dicari oleh pemimpin BN. Tetapi kalau pilihan raya itu natijah dari petisi BN terhadap Zulkifli, maka BN sengaja mencari keributan.
Anwar memang mencari kesempatan seperti itu. Dia hendak sangat berdepan dengan Pak Lah dan kalau boleh biar Pak Lah bersekali dengan Dr. Mahathir. Kalau pun peluang itu tidak ada, tetapi pilihan raya kecil segera di Kulim-Bandar Baharu seperti memberi medan yang sangat dikehendakinya.
Kesempatan seperti itu seperti rakyat Pakistan menunggu kepulangan Benazir Bhutto. Pak Lah dan Najib akan jadi macam Parvez Musharraf. Itulah yang dapat dijangkakan.
Anwar dipercayai masih banyak bekal. Masih banyak yang belum dilepaskannya. Akan jadilah Kulim-Bandar Baharu medan yang ditunggu oleh dunia. Dan akan banyak lagi kecederaan yang terpaksa dihadapi oleh Perdana Menteri dan Timbalannya.
Kesan pilihan raya umum belum selesai. Jika datang pula bom jangka, teruklah pimpinan BN untuk menangkisnya.
Modal yang tinggal bagi BN hanya hikmat Dasar Ekonomi Baru (DEB). Itu saja senjata keramatnya bagi membalun DAP dan sekutu pembangkangnya akan terkena badinya. Tetapi Anwar sudah menyebut tentang satu pelan ekonomi yang lebih elok dari DEB.
Pilihan raya kecil itu akan jadi medan menjelaskan dakwaannya itu. Jika ia dapat memukau orang ramai, akan tawarlah hikmat DEB itu. DEB ada manis tetapi semut saja yang baru merasa nikmatnya. Yang lain seperti mendengar guruh.
Demikianlah degup yang ditunggu tentang kerusi Zulkifli Nordin. Siapa yang memberitahu BN bahawa Zulkifli tidak menghantar laporan kewangan pilihan rayanya dulu? Yang tahu hanya SPR. Agaknya SPRlah yang memberitahu BN kerana kesetiaan SPR itu adalah di situ.
Tapi adakah Zulkifli saja yang melakukan kelemahan itu jika ia benar? Tidakkah ada yang lain sepertinya terutama dari kalangan pimpinan BN? Maka mungkin tiba masanya pelajar universiti membuat kes kajian bagi calon-calon yang tidak membuat penyata perbelanjaan pilihan raya untuk ijazahnya.