PETALING JAYA: Bekas pembantu peribadi kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Mohd Saiful Bukhari Azlan (gambar) sedang menjalankan persiapan terakhir untuk mengadakan upacara angkat sumpah mengikut cara Islam, dijangka minggu ini.
Perkara itu dinyatakan oleh peguamnya, Zamri Idrus ketika dihubungi oleh mStar Online.
Pada 31 Julai lalu, Saiful menyatakan beliau bersedia untuk bersumpah dengan al-Quran sejurus siasatan polis terhadap kes tersebut selesai.
Menurut Zamri, persiapan tersebut perlu diatur secara rapi dan mengikut lunas-lunas Islam yang sebenar.
“Bukan mudah untuk melaksanakan perkara sebegini. Apa yang boleh dikatakan kami sedang megadakan persiapan terakhir ke arahnya,” katanya.
Tambah Zamri, beliau tidak mahu anak guamnya itu berasa tertekan ketika ditanya bila upacara tersebut akan berlangsung.