16 Aug 2009

Permatang Pasir - projek BN hanya di kawasan peti undi yang menang.

Di bawah ini di perturunkan kenyataan Datuk Jalil seperti yang di siarkan oleh Malaysiakini.

BN akan menunaikan janjinya di kawasan peti undi yang dimenanginya walaupun calonnya kalah dalam pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir 25 Ogos ini.

"Kali ini kita guna pendekatan berbeza di mana kita akan tunaikan janji kita mengikut peti undi," kata ketua Umno bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid.

"Jika di satu kawasan peti undi itu mahukan jalan, jika peti undi itu BN menang, kita akan bagi jalan kepada mereka.

"Walaupun calon kita kalah, jika di mana-mana peti undi kita menang, kita akan tunaikan janji kita kepada peti undi yang menang selepas pilihan raya itu," katanya selepas mesyuarat Umno bahagian itu malam tadi, lapor Bernama.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, 63, daripada PAS pada 31 Julai lalu. Penamaan calon ialah pada 17 Ogos ini.

Dalam pilihan raya umum lalu, Mohd Hamdan memperoleh 11,004 undi menewaskan calon BN, Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi.

Abdul Jalil juga berkata mesyuarat bahagian itu memutuskan untuk tidak mengemukakan nama bakal calon untuk bertanding di DUN Permatang Pasir.

Sebaliknya, kata beliau, ia menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk memilih daripada empat nama yang disenarai pendek oleh Umno pusat berdasarkan maklumat dan pandangan umno bahagian.

Menurutnya, calon-calon yang disenaraikan itu adalah anak tempatan dan berumur antara 40 dan 60 tahun.

Calon muka baru

"Calonnya adalah dari golongan profesional, mampu berkhidmat, diterima masyarakat, mempunyai ramai saudara di kawasan itu dan anak tempatan Permatang Pauh," katanya sambil menjelaskan bahawa semua calon yang disenaraikan adalah muka baru.

Menurutnya, nama calon akan diumumkan pada 4 petang Jumaat ini serentak dengan pelancaran jentera pilihanraya BN Permatang Pasir.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan pula berkata penyokong PAS di Permatang Pasir seharusnya sedar bahawa parti itu tidak diberi pengiktirafan sewajarnya oleh kerajaan DAP-PKR Pulau Pinang.

"Pada tahun 1999 MIC pernah menang satu kerusi sahaja tetapi tetap diberi jawatan exco dalam kerajaan negeri (pimpinan BN) dan ini menunjukkan semangat setiakawan dan keikhlasan antara parti komponen BN," katanya selepas menyuarat mengenai persediaan pilihan raya kecil itu malam tadi.