Oleh Rahmat Haron
Di atas kertas dokumen perjalanan merentas sempadan negara-negara, tertulis pasport (Malaysia) ini sah digunakan untuk semua negara kecuali: israel. Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Hal ini, sebagai bantahan terhadap penakhlukan zionis israel ke atas hak tanah dan rakyat Palestin.
Maksudnya, rakyat Malaysia tidak boleh menjalinkan apa-apa hubungan dengan negara israel (yang dibentuk atas kekuatan tentera dan senjata kuasa penjajah dunia sekarang Amerika Syarikat, serta dunia dulu empayar Inggeris). Untuk sebuah negara seperti Malaysia, rasanya tidak perlulah untuk saya menjelaskan secara terperinci keganasan jahat zionis israel. Apatah lagi tidak lama dulu, masih lagi segar ingatan kita pada peristiwa kekejaman zionis isreal di Gaza. Hinggakan kununnya semua rakyat Malaysia tiba-tiba jadi sedih, bersimpati dan menyokong perjuangan pembebasan serta kemerdekaan Palestin. Gambar-gambar di tivi, internet, cerita dan berita cetakan di akhbar-akhbar dan majalah Malaysia tiap hari pada waktu-waktu itu, memaparkan kesedihan Palestin.
Tapi kita tidak boleh tertipu lagi, seperti dulu, kini dan pasti tidak selamanya. Kepastian ini kerana menurut hukum kewujudan alam kekuasaan manusia bersenjata bersifat sementara. Tidak ada yang kekal, dan yang tetap kekal hanyalah perubahan.
Sebagai orang yang membesar di zaman kediktatoran Mahathirisme, aku sebenarnya telah cukup sebal atau muak, hingga naik mual mendengar retorik anti penjajahan ‘Barat’ atau anti penjajahan ‘A.S’ atau anti kezaliman ‘israel’ oleh kalangan pimpinan United Malay National Organization (Umno). Misalnya Mahathir, di sebalik kununnya menjadi jaguh dunia ketiga, wira anti perang, tetap juga membayar wang kepada pelobi zionis, si yahudi Abromoff di A.S untuk bertemu dengan presiden George Bush. Atau Tun membayar khidmat nasihat penyokong penyumbang dana gerakan zionis israel, kompeni-kompeni Saatchi and Saatchi atau Mckinsey atau Solomon. Ataupun mengundang kehadiran pasukan kriket zionis israel ke Malaysia.
Sebenarnya aku hampir terlupa atau meletakkan perkara ini di tingkat paling bawah senarai keutamaanku. Tetapi apabila aku membaca kenyataan bengap bangang, Menteri Pertahanan Malaysia Zahid Hamidi berkenaan cadangannya agar nama undang-undang penahanan tanpa bicara ISA itu ditukar namanya kepada yang lain, perkara Palestin dan israel datang semula, malah mencanak naik di carta teratas senarai keutamaanku.
Apakah Zahid ‘Mosad’ Hamidi ini memikirkan rakyat Malaysia ini bodoh-bodoh belaka? Apakah Mosad Hamidi tidak nampak atau tidak dapat mengesan semangat zaman yang terpancar daripada siri-siri bantahan demonstrasi besar rakyat; Bersih, Anti PPSMI dan yang terbaru perhimpunan raksasa Anti ISA 1 Ogos 2009 itu? Kenapa Mosad Hamidi berfikir rakyat Malaysia ini bodoh, mudah diperolok-olokkan, hingga menghina semangat perubahan rakyat menentang akta zalim undang-undang penahanan tanpa bicara – apapun namanya!?
Mosad Hamidi jangan lupa kerana rakyat hari ini masih ingat pertemuannya dengan perdana menteri kesembilan negara haram israel, Benjamin “Bibi” Netanyahu, baru bulan Jun yang lalu. Atau kalau menurut setiausaha politiknya, Mosad Hamidi tidak bertemu Netanyahu, sebaliknya bertemu menteri perang israel, Ehud Barak.
Orang tidak lagi bodoh, sanggup diperhamba dan dijajah seperti dahulu. Tidak ada yang mengupah atau diupah untuk hadir ke perhimpunan Bersih, Anti PPSMI dan terbaru Anti ISA. Jernih kewarasan fikiran telah mewajarkan rakyat bertindak bijaksana, biarpun disekat terhalang tetap bersemangat turun menuntut hak dan kemerdekaan di jalan-jalan.
Orang juga tidak lagi dungu dan bebal. Manusia lahir bebas, saksama dan bermaruah. Mosad Hamidi tidak semudahnya dapat lari daripada pertanggungjawaban. Kita tidak bebal untuk ditipu Mosad Hamidi bahawa pertemuannya dengan Netanyahu atau Ehud Barak selama kurang lebih 30 minit di sebuah acara pameran senjata, di Paris, Peranchis itu bertujuan untuk kunun Mosad Hamidi menyampaikan pendiriannya yang anti penjajahan israel dan menyokong perjuangan kemerdekaan Palestin.
Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara haram israel. Bukankah menjadi pengkhianatan namanya, jika seorang menteri Malaysia bertemu dengan menteri negara haram zionis?Kita berhak untuk bertanya dan bertanya, menyoal dan menyoal APA YANG HENDAK DIJUAL PENGKHIANAT bernama Mosad Hamidi ini?