8 Jan 2010

Naib Presiden PAS kutuk serangan keatas gereja.

PETALING JAYA, Jan 8 — Satu lagi gereja Katolik, kali ini yang terletak di sini diserang manakala Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub mengutuk serangan ke atas rumah ibadat Kristian tengah malam tadi.

“Kami mengutuk keras tindakan macam ini,” kata beliau kepada The Malaysian Insider pagi ini.

PAS telah pun meminta ahlinya tidak menyertai perhimpunan protes yang akan diadakan di ibu negara dan beberapa kawasan lain di seluruh negara berhubung keputusan mahkamah membenarkan Herald menggunakan perkataan “Allah” tengah hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian ini berkata Islam tidak membenarkan umatnya memusnahkan rumah ibadat masyarakat bukan Islam.

“Walaupun ketika peperangan, masyarakat yang berlindung di rumah ibadat tidak boleh dibunuh ataupun rumah ibadat mereka dimusnahkan,” katanya lagi.

Kira-kira empat jam selepas gereja di Taman Melawati dibakar, Church of the Assumption di Jalan Templer di sini diserang kira-kira 4 pagi tadi.

Ia tidak mengakibatkan kesan besar.

Pengurusan gereja Roman Katolik ini berkata bahan letupan buatan sendiri dibaling ke arah premis itu tetapi tidak meletup.

“Ia tidak meletup,” kata editor akhbar Herald Father Lawrence Andrew kepada The Malaysian Insider.

Pihaknya akan membuat laporan polis.

Dalam pada itu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dijadual mengadakan sidang media kira-kira 11.30 pagi di Bukit Aman.

Tengah malam tadi serangan ke atas gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati dibakar oleh sekumpulan tiga hingga empat lelaki.