ALOR SETAR: Portfolio tiga anggota Exco kerajaan Kedah dirombak berikutan pelantikan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kulim, Lim Soo Nee yang mengisi tempat ADUN Lunas, Muhammad Radzhi Salleh.
Lim yang dilantik sebagai Exco Rabu lepas mempengerusikan portfolio Pembangunan Masyarakat, Tenaga Manusia dan Hal Ehwal Masyarakat Siam manakala M. Manikumar pula kini Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat India dan Pekerja Ladang.
Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak ketika mengumumkan rombakan itu hari ini yang berkuatkuasa serta merta berkata portfolio Pembangunan Usahawan dikeluarkan daripada portfolio Datuk Amiruddin Hamzah.
Amiruddin akan menumpukan kepada Industri, Pelaburan, Sains, Inovasi dan Bioteknoloji, kata Azizan selepas mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Aman di sini.